Dua peristiwa penting yang berlaku di negara ini minggu lalu boleh dikaitkan rapat dengan sejarah. Peristiwa itu ialah keputusan Makhamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) The Hague, Belanda yang memberikan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh (PBP) kepada Singapura dan Middle Rocks kepada negara ini. Kedua ialah keputusan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, keluar UMNO dan akan menyertainya semula apabila Paklah meletakkan jawatan.
Kes PBP memaparkan kita bahawa tuntutan Singapura itu dan hujjah yang dikemukakan oleh kedua-dua negara banyak menyentuh menenai sejarah. Malaysia yang diketuai oleh Duta Bebas dan Penasihat Luar Negara kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, menekankan bahawa hak kedaulatan PBP sejak dari dulu lagi dimiliki oleh Kesultanan Johor dan tidak berubah sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, Singapura mengatakan surat pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor pada 1953 menunjukkan wujudnya penyerahan PBP kepada republik itu dan tidak hairanlah mereka berani membina bangunan di pulau yang selama ini menjadi tempat berteduh nelayan Johor. Akhirnya seperti yang kita ikuti dalam siaran langsung RTM, Singapura diberikan hak terhadap PBP selama-lamanya selagi ada bulan dan matahari. Amat menyedihkan.
Pengajaran daripada peristiwa ini ialah rakyat negara ini perlu memperkukuhkan ilmu sejarah mereka agar boleh menjadi insan yang berilmu dan rasional. Sejarah penting yang perlu diketahui ialah bagaimana perjuangan pemimpin dulu daripada pelbagai bangsa berusaha gigih memerdekakan negara. Ini diikuti dengan pelbagai persetujuan antara bangsa dan kaum di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai rakyat Malaysia kita harus memahami apa yang terkandung di dalam Perlembagaan dan tidak melontarkan pandangan membabi-buta sehinggakan menyinggung perasaan antara kaum di negara ini. Jika kita buta sejarah, kita akan menidakkan hak orang lain dan sentiasa menjerit-jerit meminta agar diberikan hak sama rata kerana sudah lama tinggal di negara ini. Dilahirkan dan tinggal lama di sini bukanlah pasport untuk mempersoalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan terutama keistimewaan yang diberikan kepada bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ini perlu difahami dan dihayati.
Perkara kedua ialah sikap kakitangan kerajaan dalam menyediakan surat atau dokumen penting dalam perkhidmatan mereka. Jika mereka tidak bersetuju dengan kandungan surat atau dokumen berkenaan, mereka perlu bersuara dan memberikan cadangan balik kerana dokumen ini akan menjadi perkara penting pada tahun-tahun akan datang. Mungkin 10, 30 atau 50 tahun akan datang. Ini yang terjadi pada PBP yang memaparkan satu surat yang ditulis oleh seorang pegawai kerajaan yang menentukan hak pemilikan PBP. Pegawai kerajaan perlu memastikan surat atau dokumen yang disediakan baik, betul dan menjaga kepentingan negara. Jika tidak, lama-kelamaan, negara ini boleh tergadai.
Selain itu, kerajaan perlu memastikan semua dokumen penting di simpan di Arkib Negara bagi membolehkan rakyat negara ini membuat rujukan. Bagi surat, peta atau dokumen yang banyak di luar negara terutama di Eropah, usaha perlu dilakukan untuk mencari, menjejaki dan membeli dokumen ini untuk kepentingan masa depan negara. Belanjalah sedikit wang untuk membeli dokumen ini pada harga yang sudah tentu pihak ketiga yang memegangnya sanggup “melepaskan” dokumen berkenaan. Usaha gigih perlu diteruskan untuk mencari dokumen itu di muzium negara-negara di Eropah terutamanya negara yang pernah menjajah negeri-negeri di Malaysia seperti Portugis, Inggeris, Belanda ataupun Jepun.
Kerajaan juga perlu memperkemaskan maklumat mengenai pemilikan mereka terhadap pulau-pulau di seluruh negara termasuk “batu-batu karang” sekalipun agar tiada pihak yang membuat tuntutan pada masa akan datang. Kerajaan juga perlu mengkaji perjanjian yang membenarkan pihak lain “bertapak” di pulau tertentu seperti yang berlaku di Pulau Pisang, Johor di mana rakyat Singapura diberikan tugas untuk mengendalikan rumah api di pulau itu. Persoalannya apakah rakyat Malaysia tidak boleh mengendalikan rumah api?
Sejarah juga menunjukkan semua bekas Presiden UMNO meninggal dunia di luar UMNO. Mereka ialah Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Tun Abdul Razak meninggal di London dan pada masa itu beliau masih Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dato’ Onn meninggalkan UMNO kerana ahli dan pemimpin UMNO tidak bersetuju parti itu dibuka kepada kaum lain. Begitu juga Tunku Rahman dan Tun Hussein yang tidak mahu menyertai UMNO (baru) yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas perbalahan kepemimpinan pada 1987.
Persoalannya apakah TDM akan mati di luar UMNO? Jika kita mengamati sejarah, sudah tentu perkara ini akan berlaku kerana sehingga kini beliau masih di luar UMNO. Gesaan beliau agar Paklah meletakkan jawatan sudah pasti tidak akan berlaku apatah Presiden UMNO itu menyatakan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan pada pemilihan UMNO Disember ini. Kemenangan Paklah akan membolehkan beliau terus memerintah dalam tempoh empat tahun akan datang sehingga berlakunya peralihan kuasa.
Apa akan jadi pada TDM dalam tempoh empat tahun itu? Kita berdoa agar umur TDM panjang untuk membolehkan beliau mengubah fikiran kembali semula dalam UMNO. Ini penting kerana kita tidak mahu sejarah berulang di mana semua bekas Presiden UMNO mati di luar parti. Oleh itu, usaha menemui TDM perlu disegerakan bagi “memujuk” beliau untuk menyertai UMNO semula.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bersedia menemui TDM tidak lama lagi, perlu mendapatkan perkara sebenarnya apakah yang menyebabkan TDM amat marah kepada Paklah. Adakah ia membabitkan isu peribadi? Adakah teguran dan pandangan yang dilontarkan oleh TDM terhadap Paklah bertujuan memberi tekanan agar Paklah berhenti segera? Jika Paklah tidak mahu berhenti, apakah tindakan selanjut TDM setelah keluar UMNO dan meminta orang lain mengikuti jejak langkahnya? Pemimpin-pemimpin UMNO perlu memikirkan kepentingan parti dan bangsa Melayu daripada mementingkan diri sendiri. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi UMNO perlu kukuh agar institusi sosial Melayu ini terus relevan pada masa akan datang.
Friday, June 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment