Hari ini (Rabu) kerajaan akan mengumumkan mekanisme skim subsidi baru petrol dan diesel untuk rakyat. Sepatutnya Jumaat lalu, tetapi kerana ramai Menteri yang tidak boleh hadir pada mesyuarat Kabinet hari itu kerana ada tugas lain seperti mengepalai rombongan pelaburan di luar negara, maka kerajaan memutuskan ia diumumkan hari ini.
Pengumuman hari ini dibuat setelah mengambilkira semua cadangan dan pandangan Menteri. Pandangan mengikut kepentingan kementerian masing-masing termasuk urusan pelaksanaan mekanisme skim subsidi baru itu. Umpamanya, jika pemberian subsidi itu berbentuk kupon, kementerian manakah yang perlu diberikan tugas mengagih-agihkan kupon dan siapa pula yang akan menerima kupon subsidi yang mungkin ditukarkan kepada wang . Jika kerajaan memilih untuk memberikan kepada kumpulan pengguna kenderaan tertentu mengikut tahap kuasa (cc) kenderaan mereka, siapa pula yang bertanggungjawab menguruskannya. Inilah mekanisme yang perlu difikirkan bagi memudahkan rakyat. Yang penting subsidi diberikan terus kepada rakyat yang memerlukannnya.
Memperkatakan mengenai subsidi ini, rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana sikap prihatin mereka kepada golongan yang memerlukannya. Sikap prihatin ini menyebabkan rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan kecuali mereka yang tidak ambil pusing apa yang mereka nikmati. Persoalannya berapa ramaikah rakyat yang amat memerlukan bantuan ini menerima “hadiah atau ganjaran” daripada kerajaan itu sejak bertahun-tahun dan mencapai kos subsidi mencecah RM56 bilion tahun ini. Jika diperincikan sudah tentulah mereka yang mempunyai kenderaan sama ada motosikal, kereta, bas, lori atau bot yang menggunakan petrol atau diesel, yang gembira menikmati pemberiaan subsidi itu.
Seterusnya, banyak mana rakyat menikmatinya bergantung kepada jumlah kenderaan yang dimiliki. Umpamanya jika seseorang itu mempunyai motosikal atau skuter, maka beliau dapatlah menikmati subsidi petrol itu. Jika mereka mempunyai dua kenderaan, maka dua kalilah menikmatinya. Yang banyak mendapat faedah daripada subsidi ini tentulah kumpulan yang mempunyai banyak kenderaan seperti usahawan bidang pengangkutan atau mereka yang banyak menggunakan kenderaan seperti pelancongan.
Kumpulan usahawan dan peniaga yang banyak kenderaan seperti van, bas atau lori, sudah pasti tersenyum lebar dengan pemberian subsidi itu. Faedah ini sama juga dengan pembinaan lebuhraya dari utara ke selatan yang menguntungkan peniaga yang menghantar barangan mereka dalam jarak yang jauh atau ke pelabuhan di tengah, utara atau selatan negara. Mereka bukan saja tersenyum tetapi ketawa terbahak-bahak ke bank kerana mengaut keuntungan besar. Mereka inilah sepatutnya terus menyokong kerajaan.
Persoalannya adakah mereka memanjangkan “hadiah atau ganjaran” itu kepada pengguna seterusnya. Seperti pengusaha bas atau lori yang mengenakan bayaran berpatutan kepada pengguna. Bukan menjerit-jerit meminta naik tambang atau kadar bayaran. Jika mereka memanjangkan hadiah itu, kita amat alu-alukan tetapi jika mereka kedekut untuk meringankan beban pengguna, maka sesuatu perlu dilakukan terhadap sistem yang tidak seimbang itu. Jika mereka saja mendapat keuntungan tetapi matlamat utama untuk membantu golongan memerlukan tidak kesampaian, maka subsidi petrol dan diesel perlu dihapuskan. Mekanisme pemberiaan subsidi perlu diberikan terus kepada kumpulan sasar. Jangan terkejut jika tiada subsidi lagi dan harga petrol serta diesel dinaikkan.
Isnin lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata harga petrol dan diesel mungkin naik Ogos ini apabila Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi melakukan penstrukturan semula skim subsidi bahan bakar itu. Beliau memberi jaminan kenaikan harga petrol dan diesel itu tidak akan menjejaskan pengguna berpendapatan rendah yang akan terus menikmati skim subsidi baru.
Harga pasaran petrol semasa ialah RM4 seliter tetapi di Malaysia ia dijual pada harga subsidi RM1.92 seliter melibatkan peruntukan subsidi yang dijangka mencecah RM56 bilion (meliputi subsidi petrol, diesel dan gas) pada tahun ini. Ini berbeza dengan harga petrol dan diesel yang dijual di Thailand iaitu sekali ganda kerana ketiadaan subsidi. Harga minyak di pasaran dunia terus meningkat sehingga mencecah lebih AS$135 setong dua minggu lalu tetapi kini stabil di paras AS$128. Di Indonesia, harga petrol dan diesel dinaikkan sehingga 30 peratus manakala kerajaan India bercadang menaikkan harga bahan api itu. Apabila naik pastilah ada orang yang akan membantah.
Skim subsidi baru bahan api yang akan dikuatkuasakan Ogos ini, menurut Datuk Shahrir, bukan berdasarkan kepada jumlah penggunaan sebaliknya lebih berasaskan kepada keperluan pengguna. “Sekarang ini, tiada sekatan terhadap pemberian subsidi minyak. Walau banyak manapun kita beli diesel atau petrol, kita akan dapat subsidi. Kalau kita guna 200 liter sebulan pun kita akan dapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli, kalau kita guna hanya 100 liter pun kita akan dapat subsidi, jadi bermakna tak ada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada kegunaan kita. Kerajaan mahu mewujudkan satu sistem baru yang tidak menjurus kepada masalah dan sepatutnya ia (subsidi) adalah untuk golongan yang amat memerlukan,” katanya.
Beberapa cadangan mengenai mekanisme skim subsidi baru petrol dan diesel sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan. “Kita akan menggunakan tempoh dua bulan ini untuk melakukan kajian terperinci bagi penstrukturan semula skim subsidi bahan api," katanya.
Oleh itu, rakyat negara ini bersedialah dengan pengumuman kerajaan hari ini mengenai pemberian skim subsidi baru untuk petrol dan diesel. Adalah diharapkan pengumuman ini akan melegakan semua pihak terutama golongan berpendapatan rendah yang menerima kesan terhadap kenaikan harga minyak selama ini. Mereka diserang daripada pelbagai sudut termasuk perlu berbelanja lebih untuk minyak motosikal dan kereta di samping perlu membeli barang keperluan pada harga yang mahal kerana sikap peniaga yang menaikkan harga. Sudah sampai masanya nasib mereka terus diperjuangkan.
Dalam pada itu, rakyat negara ini tidak kira pengguna atau peniaga perlu menyokong langkah kerajaan mengenakan sekatan penjualan petrol dan diesel di stesen-stesen minyak di sempadan negara. Bagi kerajaan ia adalah sebagai langkah sementara menangani kebocoran pemberian subsidi minyak tetapi kita mahu ia perlu diteruskan demi menjaga kepentingan rakyat di negara ini. Sudahlah golongan pendapatan rendah tidak mendapat nikmat subsidi petrol dan diesel sepenuhya kerana ia banyak menguntungkan golongan peniaga dan usahawan, luka mereka semakin pedih apabila mengetahui rakyat asing juga turut merasainya. Sekatan ini pasti akan dapat membendung penyaluran subsidi kepada mereka yang tidak berkaitan terutama rakyat asing. Mereka juga untung kerana beli diesel subsidi nelayan di tengah laut.
Mulai Isnin lalu, kerajaan menguatkuasakan larangan ke atas rakyat asing membeli bahan bakar di stesen-stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand manakala bagi sempadan Malaysia-Singapura pula ia akan dimulakan pada 9 Jun ini. Pelaksanaan langkah itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Perlis, Kedah, Utara Perak dan Kelantan.
Selamat menerima skim subsidi minyak yang baru.
Friday, June 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Subsidi..Subsidi..and subsidi :)
Duduk terengganu lah.
Leh dapat 'duit ehsan' ;)
Jemput ke selingan menarik ;)
http://teampemudaumno.blogspot.com
http://pro-faizal.blogspot.com
Post a Comment